17 March 2010

Kolam Air Panas

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

JELI 8 Feb. – Kolam Air Panas Jeli di Batu Melintang di sini, disenaraikan oleh pihak berkuasa tempatan melalui laman web rasminya sebagai salah satu tempat menarik di jajahan tersebut.
Ia mungkin begitu pada masa dulu, tetapi kini sebenarnya ia tempat yang ‘menyakitkan’ mata dan hati sesiapa yang menghargai keindahan dan keunikan alam.
Apatah lagi, peruntukan yang agak besar tentunya disalurkan bagi menyediakan pelbagai kemudahan mula dirasakan satu pembaziran jika usaha itu sekadar menambahkan bilangan projek pembangunan pelancongan.
Sebilangan pengunjung yang dangkal pemikiran juga dilihat tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan kemudahan itu.
Inilah contoh gambaran biasa kawasan yang cuba dimajukan sebagai pusat rekreasi di kawasan-kawasan agak terpencil di negeri ini apabila ia tidak lagi diberi perhatian selepas segala kemudahan disediakan.
Sebelum ini, dua buah kolam dibina oleh pihak berkuasa untuk menakung air dari mata air panas dalam sungai jernih yang mengalir.
Ramai yang percaya air panas ini dengan purata suhu 50 darjah celsius mempunyai khasiat belerang yang dipercayai dapat menyembuhkan penyakit kulit.
Bagi menarik lebih banyak tumpuan di lokasi yang cukup sesuai untuk bersantai bersama keluarga dan kerajaan juga sebelum ini menyediakan kemudahan seperti tandas awam, wakaf rehat dan tempat mandi.
Kolam air panas itu sepatutnya menjadi persinggahan istirehat terutama bagi mereka yang dalam perjalanan Timur-Barat kerana lokasinya yang berhampiran dengan sempadan Kelantan dan Perak.
Ia terletak hampir 20 kilometer dari bandar Jeli, mudah dilihat oleh pengunjung melalui satu pintu gerbang yang dibuat di pintu masuk ke pusat rekreasi berkenaan.
Bagaimanapun, dengan keadaan jalan masuk ke kolam berkenaan yang sempit dan curam sehingga 70 darjah membuatkan pengunjung berfikir dua kali sama ada mahu meneruskan niat mereka.
Perkhidmatan bas awam juga tidak beroperasi ke kolam air panas itu walaupun teksi mudah diperolehi di Bandar Jeli dengan harga tambang RM8 sehala untuk ke situ.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati kawasan itu sememangnya amat terbiar dengan segala kemudahan dalam keadaan amat daif.
Kemudahan awam yang disediakan semuanya rosak. Beberapa wakaf di pusat rekreasi roboh dan dilindungi rumput dan semak samun.
Begitu juga nasib papan kenyataan konkrit yang dibina dan memberi info mengenai kolam manakala sebuah surau hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.
Di dalamnya, dipenuhi dengan sampah sarap seperti botol minuman, puntung rokok dan beberapa peralatan yang selalunya digunakan oleh penagih dadah ketika menjalankan ‘aktiviti’ mereka.
Sebuah tandas yang disediakan juga rosak teruk dan bau busuk di sekitarnya.
Menurut Awang Mat Ali, 58, kolam berkenaan suatu ketika dulu mempunyai ramai pengunjung terutama sekali masyarakat tempatan yang mahu bersantai dengan keluarga setiap hujung minggu.
Bagaimanapun katanya, sejak beberapa tahun lepas, ia tidak lagi dikunjungi kerana kawasannya menjadi semakin seram kerana tidak dijaga.
“Kali terakhir saya ke kolam itu adalah lebih setahun lalu. Memang macam itulah keadaannya sebab itu tidak ada orang datang.
“Air di kolam itu masih panas tetapi lumutnya tebal sampai lebih dua inci. Macam mana nak mandi dalam kolam kalau dah kotor sampai begitu,” katanya ketika ditemui.
Menurut Awang yang berasal dari Kuala Balah, dia tahu mengenai keadaan kolam itu yang terbiar kerana selalu datang ke rumah menantunya yang terletak berhampiran dengan kolam berkenaan.
Anaknya, Nor Atikah Awang yang membuka sebuah kedai makan berhampiran dengan jalan masuk ke kolam berkenaan berkata, jumlah pengunjung yang datang sangat sedikit dan turut menjejaskan perniagaannya.
“Kalau ada pengunjung pun mereka cuma singgah sekejap sahaja, lepas tu balik. Semua sebab keadaan kolam itu yang terbiar dan daif.
“Kalau dulu, perniagaan saya banyak bergantung kepada pengunjung yang datang ke kolam itu, sekarang tidak lagi malah saya kini hanya mengharap kehadiran penduduk kampung untuk makan atau minum di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk berhampiran, Azmah Yahya, 43 berkata, kolam berkenaan kini dipercayai menjadi pusat untuk golongan remaja melakukan aktiviti tidak sihat seperti penagihan dadah dan maksiat.
“Selalu ada remaja menggunakan motor pergi ke kolam itu terutama sekali pada waktu petang. Saya percaya mereka melakukan aktiviti tidak sihat malah kadang-kadang ada yang datang secara berpasangan.
“Kami harap PBT dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin sebelum ia menjadi lebih teruk lagi,” tambahnya.

0 comments: